PASUKAN TEAM ALACARD RANGKUL NAIB JOHAN DI NEXG GODAMLAH 2.0 SMART ID HACKATHON
USM, Pulau Pinang, 11 Januari 2026 – Tahniah diucapkan kepada Team AlaCard, gabungan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berjaya merangkul gelaran Naib Johan bagi kategori Security Track dalam pertandingan NexG GodamLah 2.0 Smart ID Hackathon Grand Finale.
Pasukan ini berjaya menyerlahkan kehebatan mereka daripada keseluruhan 701 peserta yang mewakili 186 pasukan, seterusnya menempatkan diri dalam kelompok sembilan (Top 9) pasukan terbaik sebelum dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua. Kejayaan tersebut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000. Pertandingan yang berlangsung di Cyberview, Cyberjaya ini merupakan anjuran Kolaxus dan NexG Berhad dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber (CYRES) USM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kejayaan ini turut didorong oleh bimbingan dan mentoran daripada Ts. Dr. Mohd Najwadi Yusoff, serta khidmat nasihat awal daripada Profesor Madya Dr. Aman Jantan dari Pusat Pengajian Sains Komputer, USM, yang menyumbang secara signifikan kepada hala tuju projek ini.
Pasukan AlaCard dianggotai oleh Gan Min Hui dari Pusat Pengajian Bahan dan Sumber Mineral, USM; Koh Kean Hoe, Ernest Lim Shun Hang, dan Zoe Chan Zi Yi dari Pusat Pengajian Sains Komputer, USM; serta Choong Kar Jun dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik), UTM.
Inovasi yang dipertaruhkan, AlaCard (Privacy-Preserving Eligibility Verification – PPEV), merupakan satu solusi keselamatan digital yang bersifat inovatif dan berimpak tinggi. Sistem ini membolehkan proses pengesahan kelayakan subsidi atau bantuan kerajaan dilaksanakan tanpa mendedahkan data peribadi sensitif pengguna.
Dengan memanfaatkan teknologi Zero-Knowledge Proofs (ZKP) dan kriptografi asimetrik (Public Key Infrastructure – PKI), AlaCard mampu membuktikan kelayakan pengguna secara matematik dalam bentuk keputusan “Ya” atau “Tidak”, tanpa perlu berkongsi nombor MyKad atau maklumat pendapatan. Sistem ini dijangka dapat mengurangkan ketirisan subsidi dan penipuan identiti sehingga 70% hingga 90%, selain bersifat inklusif melalui sokongan integrasi MyDigital ID serta imbasan biometrik MyKad fizikal.
Seluruh warga universiti merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian membanggakan ini. Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan kualiti, kreativiti, dan daya saing pelajar USM dalam menghasilkan solusi berteknologi tinggi bagi mendepani cabaran keselamatan siber dan tadbir urus digital negara.
Teks: Gan Min Hui
Foto: NexG GodamLah 2.0






- Hits: 89





