MAHASISWA DAN PAKAR USM DOMINASI PERSADA ANTARABANGSA, RANGKUL GELARAN JUARA SERANTAU DI SINGAPORE AI SAFETY RED TEAMING CHALLENGE 2026
SINGAPURA 21 Januari 2026 – Delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai Juara Serantau (Regional Champion) dalam pertandingan berprestij Singapore AI Safety Red Teaming Challenge 2026 yang berlangsung di Crowne Plaza Changi Airport, Singapura.
Kejayaan ini merupakan hasil kolaborasi strategik pasukan elit USM yang menggabungkan kepakaran rentas disiplin antara bidang Sains Komputer dan Linguistik. Pasukan ini terdiri daripada pakar dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, iaitu Dr. Boh Phaik Ean dan Puan Ida Suhaini binti Tajul Urus, serta pakar dari Pusat Pengajian Sains Komputer, iaitu Prof. Madya Dr. Tan Tien Ping dan Dr. Mohd Najwadi bin Yusoff, bersama seorang wakil pelajar, Lim Wen Hao.
Dianjurkan oleh Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura, cabaran tahun ini memberi tumpuan khusus kepada pengujian keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) bertemakan "Multilingual and Multicultural" (MLMC). Pasukan USM telah menunjukkan sinergi yang luar biasa dalam menguji kerentanan sistem AI terhadap risiko kebocoran data (data leakage) serta kandungan sensitif dengan mengambil kira kepelbagaian bahasa dan budaya tempatan.
Gabungan mantap ini membolehkan pasukan USM menandingi peserta dari 14 buah negara di seluruh rantau Asia, termasuk Jepun, Korea Selatan, dan China. Kepakaran teknikal daripada aspek pengkomputeran yang diperkukuh dengan analisis mendalam daripada pakar linguistik menjadi faktor kunci dalam memastikan setiap model AI yang diuji mematuhi piawaian keselamatan yang ketat di peringkat global.
Dalam persaingan yang sengit tersebut, Lim Wen Hao yang bertindak selaku wakil pelajar dalam pasukan telah mencatatkan skor tertinggi, sekali gus melayakkan pasukan USM membawa pulang gelaran juara serantau. Pencapaian ini membuktikan kualiti akademik dan keupayaan penyelidikan USM dalam mendepani cabaran teknologi masa hadapan seperti AI Safety dan Tadbir Urus Digital.
Selain pertandingan utama, delegasi USM turut terlibat secara aktif dalam AI Assurance Base Camp dan bengkel teknikal antarabangsa bersama pakar daripada AI Verify Foundation serta International Network of AI Safety Institutes.
Teks: Lim Wen Hao; Foto: Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura












- Hits: 53